Abu Talib Othman bercakap kepada media di Menara ILHAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2018

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) hari ini memanggil wakil daripada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti dan Jabatan Audit Negara untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung siasatan syarikat kontroversi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa 1MDB, Tan Sri Abdul Talib Othman berkata, ia adalah bagi bertukar-tukar maklumat kerana fungsi jawatankuasa tersebut adalah untuk mengkordinasi maklumat dan mengelakkan pertindihan di dalam siasatan.

“Kami mendengar semua maklumat yang diberikan contohnya Jabatan Audit Negara tadi memberi penjelasan terperinci mengenai dokumen-dokumen yang diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham di sini hari ini.

Tambah Abu Talib, jawatankuasa itu akan memastikan siasatan dilakukan secara adil dan mengikut prosedur perundangan di negara ini.

Jawatankuasa 1MDB ditubuhkan selepas Majlis Penasihat Negara berpendapat terdapat keperluan untuk mempunyai sebuah jawatankuasa berasingan bagi melihat perkara berkaitan 1MDB.

Selain bekas Peguam Negara itu, jawatankuasa turut dianggotai oleh Nik Shahrizal Sulaiman, Risk Assurance Services PwC, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar – Rakan Kongsi Kanan Naqiz & Partners, Faris Rabidin Penasihat Kanan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia dan Cynthia Gabriel, Pusat Membenteras Rasuah dan Kronisme.-MalaysiaGazette