SOUEL– Korea Utara tetap bertegas dan komited untuk menghentikan terus program nuklear seperti yang dijanjikan serta berikrar tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan tersebut.

Menurut agensi rasmi KCNA, pemimpin nombor satu Korea Utara, Kim Jong-un, beliau  serius dalam komitmen untuk menamatkan program nuklear di Semenanjung Korea.

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov yang telah mengadakan pertemuan dengan Jong-un semalam di Pyongyang  mengesahkan komitmen tersebut kepada media antarabangsa.

“Jong-un memaklumkan kepada saya bahawa keputusan untuk menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea tidak akan berubah.

“Beliau bertegas keputusan itu tidak akan berubah dan kekal konsisten dengan keputusan ini,” katanya.

Tambah Lavrov, pemimpin Korea Utara itu berharap penyelesaian membabitkan isu berkenaan juga akan dapat diselesaikan melalui beberapa sesi dialog dengan pihak berwajib selain daripada rundingan secara aman.

Jelas Lavrov, pada masa yang sama semua pihak diingatkan supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi selain mengelak daripada mengemukakan pelbagai tuntutan terhadap Pyongyang.

Namun demikian, rata-rata penganalisis pula berpendapat, Korea Utara tidak akan menamatkan program nuklear negara itu kecuali mereka memperoleh jaminan bahawa tiada usaha dari Amerika Syarikat (AS) untuk mengguling rejim pemerintah.

Sebelum ini, Jong-un berikrar untuk menghentikan program nuklear di semenanjung itu ketika pertemuan bersejarah di Beijing bersama Presiden Xi Jinping.

China turut berikrar untuk mengukuhkan lagi persahabatan dengan negara yang terasing itu.

Pertemuan yang mengakhiri pelbagai spekulasi itu menyaksikan China dan Korea Utara mengesahkan bahawa Kim berkunjung ke Beijing dan bertemu dengan Jinping, aktiviti yang disifatkan agensi berita rasmi Xinhua sebagai kunjungan tidak rasmi bermula Ahad lalu hingga hari ini.

Kunjungan luar itu adalah yang pertama buat Kim sejak memimpin pada tahun 2011.

Penganalisis percaya ia satu bentuk persediaan menjelang sidang kemuncak dengan Korea Selatan dan AS.

Agensi berita Korea Utara KCNA bagaimanapun tidak menyebut sebarang ikrar untuk menghentikan program nuklear mahupun pertemuan dengan AS.- Malaysia Gazette