KIEV – Seorang wartawan kontroversi kembali ‘hidup’ selepas 24 jam memalsukan kematian diri sendiri dengan mendakwa  ditembak mati oleh seorang yang tidak dikenali di sini semalam.

Agensi melaporkan, Arkady Babchenko mengejutkan pelbagai pihak terutama dunia kewartawanan apabila ‘hidup’ kembali dalam sidang media lewat malam semalam.

Babchenko mengejutkan orang ramai ketika tampil pada sidang media  iaitu kurang 24 jam selepas pihak berkuasa Ukraine melaporkan beliau mati ditembak di rumahnya di Kiev disyaki dilakukan oleh pembunuh upahan.

Kematian itu bukan sahaja menggemparkan pelbagai pihak malah pelbagai badan dalam dan luar Rusia melahirkan rasa kecewa, simpati dan marah terhadap insiden ‘tembak mati’ wartawan tersebut sejak kelmarin.

Bagaimanapun, Babchenko mempertahankan tindakan memalsukan berita kematiannya dengan bantuan perkhidmatan keselamatan Ukraine, selepas menerima kritikan media bertalu-talu.

“Walaupun saya dikritik oleh ramai termasuk kawan-kawan rapat, namun saya hanya fikir tentang keselamatan diri dan keluarga ketika ini. Tindakan ini bukan untuk menipu sebaliknya untuk memastikan keselamatan saya terjaga.

“Jawatan dan kerjaya sebagai wartawan adalah yang terakhir yang fikir jika hendak dibandingkan dengan soal keselamatan diri dan keluarga. Pada saya itu sangat penting. Anda tidak berada di tempat saya.

“Kawan-kawan, saya tidak kisah langsung. Saya tidak kisah sama ada kamu akan mempercayainya lagi sekiranya apa-apa terjadi kepada saya pada masa akan datang.

“Jika saya mati kerana orang lain, yang akan susah adalah keluarga saya bukan anda,” katanya sambil mengalirkan airmata.

Bagaimanapun, Babchenko tidak mendedahkan siapakah yang kini menjadi ancaman sehingga menyebabkan dirinya bertindak demikian walaupun diasak beberapa kali.

Babchenko pernah pernah berkhidmat sebagai penyampai berita  di saluran Ukraine ATR TV selain menulis mengenai artikel tentera yang ada antaranya kontroversi.-MalaysiaGazette

 

Wartawan Rusia ditembak mati