Lintasan sempadan Kerem Shalom. Foto Anadolu

MESIR – Israel dan Mesir saling menyalahkan satu sama lain berhubung penutupan berterusan sempadan di tengah-tengah krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing.

Tentera Israel telah menguasai bahagian sempadan Gaza.

Menteri Luar Israel Israel Katz berkata, beliau telah memberitahu United Kingdom dan Jerman tentang keperluan untuk memujuk Mesir untuk membuka semula lintasan.

Tetapi Mesir mendakwa operasi ketenteraan Israel di kawasan itu yang menghalang bantuan daripada melaluinya.

Kaherah berkata, Israel cuba mengalihkan kesalahan kepada negaranya sedangkan rejim zionis itu yang menyekat bantuan.

Katz menuduh Hamas, yang menyerang selatan Israel pada 7 Oktober tahun lalu telah mencetuskan perang semasa, tidak lagi dapat “mengawal persimpangan Rafah”.

“Dunia meletakkan tanggungjawab untuk situasi kemanusiaan ke atas Israel, tetapi kunci untuk mencegah krisis kemanusiaan di Gaza kini berada di tangan rakan Mesir kita,” tulis Katz di X.

Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry segera membalas komen itu dengan mengeluarkan kenyataan yang Israel bertanggungjawab terhadap krisis kemanusiaan di Gaza dan tindakan tentera Israel di kawasan Rafah menghalang bantuan.

Mesir telah menjadi salah satu pengantara dalam rundingan gencatan senjata yang terhenti, tetapi hubungannya dengan Israel telah tegang sejak Israel merampas bahagian Gaza di persimpangan Rafah pada 7 Mei lalu.

Hampir 450,000 rakyat Palestin telah melarikan diri dari Rafah sejak seminggu lalu selepas tentera Israel berpindah ke Kawasan tersebut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kereta kebal Israel dilaporkan bergerak ke bandar Rafah, yang terletak di utara lintasan sempadan.

Antonio Guterres, Setiausaha Agung PBB, dalam satu kenyataan berkata, beliau terkejut dengan peningkatan aktiviti ketenteraan di dalam dan sekitar Rafah oleh Angkatan Pertahanan Israel.

Mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan agar lintasan Rafah dibuka, beliau menegaskan, perkembangan ini menghalang akses kemanusiaan dan memburukkan lagi keadaan yang sudah teruk.

“Pada masa yang sama, Hamas terus menembak roket tanpa rawak. Orang awam mesti dihormati dan dilindungi pada setiap masa, di Rafah dan tempat lain di Gaza. Bagi penduduk di Gaza, tiada tempat yang selamat sekarang,” tegasnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan agensi bantuan antarabangsa berkata, penutupan persimpangan Rafah dan persimpangan Kerem Shalom antara Israel dan selatan Gaza telah hampir memotong jalur Gaza daripada bantuan luar.

Minggu lalu, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Matthew Miller berkata, adalah menjadi kewajipan Israel untuk memastikan lintasan Rafah terbuka dan beroperai dengan berkesan.

Pada awal Mei, Cindy McCain, Ketua Agensi Makanan PBB berkata, kebuluran berlaku di utara dan selatan Gaza.

Dalam kemas kini terbarunya, Cogat – agensi ketenteraan Israel yang ditugaskan untuk menyelaraskan akses bantuan di Gaza berkata, terdapat 64 trak bantuan memasuki Gaza pada hari Ahad, turun dengan ketara berbanding jumlah trak harian yang masuk pada April. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here