KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini mengumumkan untuk bertanding Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu yang akan diadakan pada 30 Jun 2018.

Sebagai seorang ahli UMNO yang setia, beliau mahu terus menyumbang kepada parti itu melalui pengalaman dan latar belakangnya memandangkan banyak pembaharuan yang perlu dilakukan oleh UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu berkata, sudah sampai masanya parti itu menilai semula kedudukan dan membetulkan kesilapan lampau dan memperbaiki mana-mana kekurangan.

Menurutnya, negara kini menghadapi era baru dalam kesedaran dan pengembangan sosial, yang mana piawaian dan tuntutan rakyat menjadi semakin kompleks dan pelbagai.

Pembaharuan dalam senario sosial serta politik telah berkembang dan keputusan Pilihan Raya Umum baru-baru ini merupakan bukti kepada keperluan perubahan dan kehendak rakyat.

“Kita perlu, sebagai parti dan ahli-ahli individu parti mendengar suara rakyat dan bukannya terus meraikan kejayaan lalu. Kita tidak boleh lagi berterusan berada pada takuk lama dan hidup dengan mengharapkan apa yang ada.

“UMNO menjadi parti nasional dan tulang belakang Barisan Nasional perlu memahami kehendak rakyat. Parti perlu bersama golongan muda dan menjadi suara dan inspirasi mereka.

“Inilah antara cabaran-cabaran dan isu-isu yang dihadapi UMNO sekarang,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam satu kenyataan di sini.

Johari menjadi ahli UMNO sejak tahun 1988 juga merupakan seorang ahli korporat yang berjaya.

Beliau percaya dengan asas kukuh dan sejarah ketahanan UMNO yang mantap dalam menghadapi cabaran, ia masih mempunyai kekuatan yang mengagumkan.

Dengan peranan sebagai pembangkang, UMNO akan terus bersuara dan memperjuangkan keperluan rakyat dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan seharian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast