Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk menstrukturkan semula parti.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan, BN perlu memulakan persiapan untuk menghadapi sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada Julai ini.

Menurutnya, ia bermula dengan langkah pertama iaitu memisahkan tugas antara parti dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen.

“Pengerusi BN tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Malah, Pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN.

“Tugas-tugas perundangan di Parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan polisi yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Kabinet bayangan juga perlu dibentuk selepas ketua pembangkang dipilih dalam kalangan ahli-ahli Parlimen BN.

Katanya, meskipun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan Kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi bagi membolehkan rakyat merujuk dengan mudah siapa menteri bayangan bagi menyemak dan mengimbangi tugas menteri kerajaan.

Ujarnya, sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan Parlimen diperkukuhkan lagi.

“Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Khairy mengakui peruntukan yang diberikan kerajaan kepada ahli Parlimen BN lebih baik berbanding ketika BN memerintah dahulu.

Ini kerana katanya, meskipun jumlah yang diberikan tidak sama dengan wakil rakyat Pakatan Harapan, namun ketika BN menerajui negara tiada apa-apa diberi kepada wakil rakyat pembangkang ketika itu.

“Saya harap di masa yang akan datang, kerajaan dapat mempertimbangkan jumlah yang sama untuk wakil-wakil rakyat BN juga.

“Atas semangat Malaysia baharu, pengundi tidak sepatutnya dihukum atas pemilihan politik mereka semasa pilihan raya.

“Untuk memastikan tiada apa-apa ketirisan berlaku dalam pengagihan peruntukan tersebut, syarat-syarat ketat boleh diletakkan dan sistem pemantauan dan audit yang telus boleh dilaksana ke atas peruntukan yang diberi kepada semua ahli Dewan Rakyat.

“Saya berharap YAB PM boleh mempertimbangkan perkara ini untuk kesejahteraan rakyat termasuk yang berada di kawasan yang diwakili oleh BN,” kata beliau. – MalaysiaGazette