Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti pada 30 Jun ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini dalam parti dan setelah berbincang dengan pemimpin kanan parti di peringkat nasional dan negeri.

“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab memaklumkan bahawa saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO pada 30 Jun ini.

“Kepada Allah saya berserah. Semoga segalanya berjalan dengan baik dan kesetiaan saya pada parti demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara akan terus saya pertahankan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Ketika bercakap kepada pemberita di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dekat Kota Bharu, semalam, Annuar dilaporkan berkata, beliau bercadang bertanding pada pemilihan UMNO, tetapi akan membuat pengumuman jawatan apa yang bakal ditandingi itu minggu depan.

Katanya, beliau perlu melawat banyak negeri bagi memberi penerangan supaya proses pemilihan parti berjalan dengan baik.

Setakat ini mereka yang menawarkan bertanding jawatan nombor dua parti itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan manakala calon bagi jawatan Presiden sehingga kini ialah Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette