Ibrahim Ali (kanan) diiringi Sirajuddin Salleh (kiri) bercakap pada sidang media khas Perkasa Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Ibrahim Ali yang meletakkan jawatannya baru-baru ini bertegas tidak mahu memegang jawatan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia  (Perkasa) itu lagi.

Biarpun telah memegang jawatan itu selama 10 tahun namun tindakan itu diambil bagi memberikan laluan kepada kepimpinan baharu untuk membentuk kepimpinannya Perkasa selepas ini.

“Memang saya nak letak jawatan itu sebab saya sudah pimpin Perkasa sejak ia ditubuhkan hampir 10 tahun.

“Saya mengundur diri sebab nak beri peluang kepada barisan kepimpinan yang ada untuk meneruskan perjuangan dengan tujuan untuk mengelak persepsi bahawa Perkasa ini adalah gerakan Ibrahim Ali, sedangkan Ibrahim Ali bukan Perkasa,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambah Ibrahim lagi, tindakan beliau itu boleh dibawa ke Perhimpunan Agung gerakan tersebut pada Oktober depan.

“Saya nak tahu butiran dan saya akan bertemu dengan Ahli Jawatankuasa Perkasa dan berbincang lagi tetapi keadaan sama pemangku presiden masih lagi Datuk Ruhanie Ahmad ataupun boleh dibawa ke Perhimpunan Agung Perkasa pada Oktober nanti,” katanya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh tetap bertegas untuk tidak menerima perletakan jawatan Ibrahim.

Ujarnya, Perkasa masih lagi memerlukan khidmat Ibrahim selaku pemimpin tertinggi NGO terbabit.

“Hasrat letak jawatan telah ditolak Dewan Tertinggi dan kita merayu agar Ibrahim kembali menerajui Perkasa.

“Keadaan sangat memerlukan beliau terus menerajui Perkasa sebab banyak isu dapat ditangani dengan baik,” ujar beliau.

Ibrahim melepaskan jawatan itu pada 15 Mei lalu.

Ibrahim dikatakan kecewa dengan penolakan perjuangan terhadap orang Melayu yang menjadi wadah beliau selama ini. -MalaysiaGazette