KUALA LUMPUR – Konsep baju Melayu hari ini seharusnya dikekalkan agar masyarakat luar terutama tidak memberi persepsi salah atau pandangan serong terhadap pakaian kebangsaan kita sendiri.
Seni rekaan baju Melayu itu perlu dijaga agar dapat menjaga kesinambungan pakaian itu sehingga tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dalam warisan generasi tempatan khususnya budaya Melayu.
Apatah lagi, terdapat perbuatan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya ‘mengubah’ atau ‘mentransformasikan’ baju kebangsaan itu sehingga hilang identiti asal hanya kerana untuk menyemarakkan fesyen tempatan.
Bagi butik Cindai Mahsuri, menghasilkan baju Melayu sempena Aidilfitri ini adalah adalah salah satu usaha untuk mengekalkan kegemilangan pakaian tradisional tersebut.
Pemiliknya, Datin Aidasuriani Ibrahim berkata, mahu dikenali baju Melayu klasik moden, keunikan pakaian yang direka adiknya, Azrul Izwan menampilkan tiga eleman utama.
Jelas beliau, butiknya amat mementingkan kualiti fabrik, jahitan terperinci dan harga yang berpatutan.
“Fabrik yang digunakan adalah jenis kapas dan pemakai tidak perlu untuk melakukan dry cleaning. Kami masih mengekalkan keaslian baju Melayu itu apabila hanya membuat sedikit pembaharuan apabila potongannya ada regular fit.
“Sementara itu, seluarnya pula adalah potongan seluar slack dan zip tepi serta bahagian pinggang menampilkan tali jerut untuk disesuaikan dengan keselesaan pemakain,” katanya yang berkunjung ke studio MalaysiaGazette baru-baru ini.
Butik Cindai Mahsuri beroperasi di Jitra, Kedah sejak empat tahun lalu bermula dengan tudung dan shawl sebelum berkembang mengeluarkan baju kurung dan blouse untuk kaum wanita.
Bermula tahun lalu, butik yang diusahakan Aidasuriani bersama adik-beradik sebagai bisnes keluarga menghasilkan kurta dan baju Melayu klasik moden sebelum Ramadan ini.
Dalam pada itu, Aidasuriani menambah, pihaknya hanya menghasilkan 500 helai sahaja baju Melayu sebagai langkah percubaan selain bersifat edisi terhad kepada orang ramai.
Jelas beliau, ini bagi memastikan pembeli pasti berpuas hati kerana mereka tidak akan bertemu dengan pembeli baju sama di merata tempat.
“Kami tidak menyangka sambutan baju Melayu ini laris mendadak. Antara respon yang kami dapat apabila pembeli tertarik dengan rekaan baju Melayu ini yang memberi pilihan konsep cekak musang atau teluk belanga.
“Malah mereka juga memuji rekaanya yang memiliki satu poket hingga tiga poket di bahagian hadapan baju. Malah baju Melayu ini boleh dipakai sama ada bersampin atau pun tidak,” katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Aidasuriani memberitahu, pihaknya akan menghasilkan lebih banyak koleksi lelaki sempena Aidiladha nanti.
“Golongan lelaki sekarang sudah pandai berfesyen dan tidak kisah membeli-belah bermula dari kanak-kanak, remaja dan dewasa.
“Apatah lagi baju Melayu merupakan pakaian tradisi yang boleh digayakan sesiapa sahaja oleh semua masyarakat di negara ini, tidak kira bangsa dan agama. Malah baju Melayu boleh menjadi medium suara perpaduan untuk rakyat Malaysia.
“Kita tidak perlu tunggu musim perayaan mahupun musim perkahwinan untuk memakainya, baju Melayu boleh dipakai pada bila-bila masa mengikut kesesuaian majlis,” katanya tersenyum.
Sementara itu, baju Melayu klasik moden itu yang menawarkan pilihan tujuh warna itu disediakan bermula saiz S hingga XXL djual pada harga RM189.
Bagi mereka yang berminat, boleh layari akaun Instagram Cindai Mahsuri, Facebook Cindai Mahsuri atau laman web www.cindai.my. – MalaysiaGazette