Datuk Seri Jamal Md Yunos
Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap kepada media semasa pembukaan Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menyediakan makanan percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia (RGN1M) hari ini meminta pihak Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melanjutkan tempoh pengosongan premis di Jalan Pahang itu sehingga waktu yang lebih sesuai.

Pemilik restoran makanan percuma itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, ia untuk memberi ruang dan masa kepada pihaknya mencari lokasi baharu bagi memindahkan semua barang dan peralatan.

“Saya meminta jasa baik pihak Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memberi penangguhan sehingga waktu yang lebih sesuai.

“Selain itu juga, para petugas di RGN1M Jalan Pahang telah pun mula bercuti untuk menyambut Hari Raya yang dijangka pada Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada 8 Jun lalu mengeluarkan notis pemberitahuan mengosongkan tapak RGN1M di Jalan Pahang yang merupakan tanah hak milik kerajaan.

Notis itu menyebut Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara menduduki tanah kerajaan di Jalan Pahang Kuala Lumpur tanpa kebenaran.

Jamal juga diminta mengosongkan dan meroboh semua struktur premis di atas tanah berkenaan selewat-lewatnya pada 18 Jun ini (Isnin).

Menurut notis itu juga, sekiranya Jamal ingkar beliau jika disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun.

Jamal juga menegaskan, RGN1M Jalan Pahang dibuka bertujuan memberi makanan tengahari secara percuma kepada warga kota bagi meringankan beban perbelanjaan harian.

“Pihak kami tidak pernah sesekali mengambil sebarang keuntungan sepanjang RGN1M ini beroperasi.

“Justeru itu, saya meminta kelonggaran serta keizinan dari pihak tersebut untuk menagguhkan tarikh penutupan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast