Unai Emery
Emery menghadapi permulaan EPL yang getir apabila berdepan juara bertahan Man City dan Chelsea pada minggu berikutnya.

ENGLAND – Aksi seram menanti Arsenal dan pengurus baharunya Unai Emery apabila mereka akan menerima juara bertahan Manchester City di Stadium Emirates pada aksi pembukaan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) 11 Ogos ini.

Bagi Unai Emery ia diibaratkan sebagai permulaan sukar menghadapi kempen EPL musim pertamanya.

Malah Arsenal akan melalui satu lagi lawan sukar di Stamford Bridge iaitu Chelsea di minggu berikutnya.

Emery juga akan menghadapi jadual perlawanan yang sukar apabila akan bertemu Tottenham pada 1 Disember sebelum bertandang ke Old Trafford berdepan skuad Jose Mourinho.

Pertembungan Man City dan Arsenal pada aksi pertama juga didakwa bertentangan dengan dasar EPL yang selama ini mengelak enam kelab teratas England itu bertembung pada aksi pembukaan dan penghujung liga domestik.

Manchester United menerima kunjungan Leicester City ke Old Trafford.

Liverpool pula akan menerima lawatan West Ham United di Anfield.

Dalam pada itu Tottenham Hotspurs pula akan berkunjung ke Stadium St. James Park untuk bertemu Newcastle United.

Namun pada minggu berikutnya, skuad itu bakal menerima kunjungan skuad Liverpool kendalian Jurgen Klopp di gelanggang sendiri iaitu Stadium baharu White Hart Lane.

Tottenham pula diberi masa oleh FA England sehingga Jumaat ini untuk mengesahkan sama ada mereka masih mahu menggunakan Wembley sebagai laman sendiri musim ini.

Stadium baharu Spurs masih belum dipastikan sama ada sudah siap sepenuhnya untuk digunakan musim ini.

Namun, Spurs pagi ini mengesahkan mereka akan menggunakan Wembley sehingga kerja sentuhan akhir stadium baharunya selesai.

Maka mereka dijangka memulakan aksi mereka di stadium baharunya menentang Liverpool yang dijangkakan pada 15 atau 16 September ini.

Chelsea pula akan berdepan Huddersfield di tempat lawan sebelum menerima Arsenal pada minggu keduanya.- MalaysiaGazette