KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa meminta Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menjaga batas diri dengan tidak mencampuri urusan parti itu.

Annuar yang juga calon Timbalan Presiden UMNO berkata, tindakan Kit Siang menyentuh urusan pemilihan Umno dan mengaitkan nama beliau dalam pertandingan sebagai calon Timbalan Presiden Umno disifatkan sebagai melanggar sempadan sepatutnya.

“Anda (Kit Siang) telah masuk campur dalam banyak urusan orang lain. Tolong bataskan diri anda dalam mencampuri urusan orang lain terutama urusan dalaman Umno. Umno bukan DAP,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut meminta Kit Siang menikmati detik bulan madu DAP selepas semua perancangan parti itu berhasil.

Beliau dalam nada sinis turut mengucapkan tahniah kepada Penasihat DAP itu kerana berjaya merealisasikan ‘DAP-led’ Pakatan Harapan dan menjadi rakan terkuat di semua negeri dan peringkat pusat.

“Tahniah juga kerana berjaya membawa politik polarisasi kaum yang paling ketara sejak merdeka. Nasihat anda mungkin terus diperlukan untuk ‘Malaysian Malaysia’ anda, tetapi tidak untuk urusan saya atau Umno.

“Saya tahu anda juga sedang menikmati buah yang kini gugur ke riba anda tanpa anda perlu mengaitnya… memadai dengan menjeling atau menepuk tangan, nescaya segalanya jatuh ke riba DAP dan anda. Itu hak anda,” katanya.

Annuar juga meminta Kit Siang supaya menyatakan sebarang perkara yang melibatkan dirinya dalam sidang Parlimen nanti.

“Kalau ada apa-apa dari anda untuk saya, kita bertemu dalam gelanggang di Parlimen nanti. Itu tempatnya…” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast