Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KLANG – Pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu adalah satu suntikan tenaga muda yang dapat meneruskan legasi kemajuan dan kesejahteraan negeri ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata ketokohan dan kewibawaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu diyakini dapat menguruskan kerajaan negeri memandangkan pengalaman Amirudin yang telah dua penggal menjadi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Saya sendiri yakin (dengan Amirudin) kerana saya melihat (keupayaannya) dalam barisan Exco serta sebagai ADUN dan khidmat beliau cukup baik dan selaras dengan kehendak rakyat.

“Saya gembira dan bersyukur kerana proses pelantikan pengganti saya berjalan dengan baik serta lancar dan ini dapat menjamin kestabilan negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Amirudin, 38, dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Mohamed Azmin, yang dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 Mei lepas.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast