Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Amirudin Shari berkata, beliau akan memfokuskan kepada jentera pentadbiran yang mantap pada permulaan tugas sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Katanya, jentera pentadbiran yang baik mampu untuk menggerakkan segala perancangan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Azmin Ali untuk tahun ini.

“Di peringkat awal ini saya akan menumpukan beberapa isu utama iaitu memastikan keseluruhan jentera pentadbiran negeri daripada penjawat awam sehinggalah ADUN dan semua struktur kerajaan negeri di peringkat kerajaan dan majlis tempatan dapat bekerja dan bergerak bersepadu dan mantap bagi melaksanakan perancangan yang telah disusun sepanjang 2018,” katanya dalam sesi temubual bersama program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3.

Amirudin memulakan tugas selaku Menteri Besar Selangor yang baharu selepas selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Alam Shah, semalam.

Sesi pagi ini, beliau akan bertemu dengan penjawat awam kanan negeri antaranya Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Di sebelah petangnya, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Perdana Putra. -MalaysiaGazette