Jamal Md. Yunos
Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan empat lelaki yang dikatakan memecah masuk kediaman Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang di sini pada pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu daripada seorang pengurus pengawal keselamatan di kediaman Jamal pagi semalam.

“Pengadu dari syarikat keselamatan yang mengawal kediaman Jamal telah dimaklumkan seorang pengawal keselamatan yang mendakwa kediaman berkenaan dimasuki empat lelaki yang mana salah seorang dari suspek menutup muka dan mengambil barangan.

“Barangan yang dicuri termasuk satu beg pakaian besar, cermin mata pelbagai jenama, tiga telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati hanya seorang pengawal keselamatan yang berkawal di kediaman terbabit ketika kejadian, katanya dipetik dari Bernama.

Sementara itu, Jamal dalam satu kenyataan hari ini menafikan punca rumahnya dipecah masuk kerana beliau tidak membayar gaji para pekerjanya.

“Ini merupakan kali kedua rumah saya diceroboh pencuri. Kenyataan media yang mendakwa ia dilakukan oleh pekerja atau pegawai saya tidak dibayar gaji adalah tidak benar sama sekali.

“Apa yang menghairankan saya, bagaimana kenyataan yang dikeluarkan itu mengetahui jumlah dan jenis barangan yang dicuri dari rumah saya,” ujarnya.

Jamal seterusnya khuatir berkemungkinan sesuatu yang telah dirancang dalam perkara itu  walhal beliau telah meletakkan dua anggota pengawal keselamatan yang bertanggungjawab untuk menjaga rumah saya.

“Saya menyerahkan kepada pihak tertentu dan saya meminta pihak peguam saya untuk melakuakan sesuatu dibawah undang-undang yang sedia ada,” katanya.-MalaysiaGazette