Amirudin Shari bersalaman dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Menteri Besar Selangor. foto Royal Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah perkenan pelantikan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor mengikut segala peruntukan yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Ia juga selari dengan amalan yang biasa dilakukan di dalam pelantikan seorang Menteri Besar di Negeri Selangor.

Pada 7 Jun lalu, Sultan Selangor telah menerima surat daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mencalonkan tiga orang Anggota Dewan Negeri (ADUN) Selangor untuk mendapat perkenan sebagai calon pilihan Menteri Besar Selangor.

Di dalam surat itu juga, Dr. Wan Azizah memohon perkenan Sultan Selangor bagi menerima menghadap mana-mana calon yang pada pandangan baginda layak mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi tujuan mengangkat sumpah bagi jawatan tersebut.

“Surat bertarikh 7 Jun 2018 oleh Presiden PKR ini juga secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada Sultan Selangor,” menurut satu kenyataan Istana Selangor.

Setelah diteliti dan mendapatkan pandangan daripada Mohamed Azmin, maka Sultan Selangor telah perkenan dengan pelantikan salah seorang daripada calon yang disenaraikan iaitu Amirudin Shari yang juga Anggota Dewan Negeri Sungai Tua sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ke-14.

“Sebagai rujukan, Sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar. Kuasa itu diperuntukkan sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, Sultan Selangor sentiasa mengambil maklum pra syarat di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, yang mana baginda hendaklah melantik seorang anggota Dewan Negeri sebagai menteri besar, yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Negeri dan syarat kedua, seorang menteri besar yang dilantik hendaklah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Berhubung dakwaan ADUN Ijok telah juga mempersoalkan pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor pada 11 Mei lalu yang dikatakan juga tidak mendapat restu daripada parti Pakatan Harapan, kenyataan itu berkata:”ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat, Presiden Parti Amanah, Presiden Parti PPBM dan Setiausaha Agung DAP telah menghantar surat kepada Sultan Selangor untuk Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor

Pencalonan ini dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa Mohamed Azmin telah menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihan raya yang lalu.

Oleh itu adalah tidak bertepatan dakwaan ADUN Ijok mengatakan beliau dicalonkan untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Pihak Istana Selangor sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan ‘convention’ di dalam apa-apa tindakan dan tidak sama sekali campurtangan di dalam isu-isu berkaitan politik, kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette