KANSAS CITY, Missouri – Bapa pereka fesyen, mediang Kate Spade telah menghembuskan nafas terakhirnya Rabu lalu di kediaman beliau di Kansas City.

Beliau dilaporkan meninggal dunia selang beberapa jam sebelum majlis pengebumian Kate di kediaman keluarga mereka.

Apa yang lebih memilukan, Earl F Brosnahan atau lebih mesra dengan panggilan Frank, 89,  dikatakan meninggal dunia selepas kematian anak perempuan kesayangannya, Kate akibat membunuh diri.

Reuters melaporkan, keluarga Frank dalam satu kenyataan berkata, tahap kesihatan beliau mula merosot sejak insiden tersebut malah dikatakan sentiasa bersedih.

Bagaimanapun, sakit sebenar Frank tidak didedahkan oleh ahli keluarga atau mana-mana pihak selain daripada menyatakan kesedihan tentang kematian beliau.

“Tahap kesihatan Frank mula merosot sejak mendapat tahu tentang kematian Kate, beliau amat menyayangi Kate dan ini antara punca mengapa kesihatannya merundum.

“Kita akan terus merindui beliau, beliau sangat rapat dengan Kate,” kata kenyataan tersebut.

Beliau juga dikatakan telah ditemani kesemua ahli keluarganya semasa menghembuskan nafas terakhirnya.

Lahir dan dibesarkan di Missouri, Frank merupakan veteran tentera Amerika Syarikat (AS).

Dia mengambil alih perniagaan keluarga pada 1960 dan berkahwin dengan Theresa pada 1953.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan enam cahaya mata termasuk Kate.

Kate yang dikenali dengan rekaan beg tangannya serta assesori menarik meninggal dunia akibat membunuh diri pada 5 Jun lalu.

Mayatnya ditemui di pangsapurinya di Park Avenue oleh pembantu rumahnya dalam keadaan yang menyedihkan. – Malaysia Gazette