NEW DELHI – Seorang wanita berusia 28 tahun ditahan polis kerana didakwa meletakkan racun ke dalam makanan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya lima terkorban manakala 120 yang lain dimasukkan ke hospital dalam kejadian di negeri Maharashtra.
Kejadian ngeri itu berlaku di kampung Mahad di daerah Raigad kira-kira 75 kilometer dari ibu negara Mumbai, minggu lalu.
“Selepas menjalankan siasatan terperinci selama lima hari, kami telah menahan seorang suri rumah, Pargya Survase di atas dakwaan mencampurkan racun serangga ke dalam makanan yang dihidangkan kepada tetamu semasa kenduri salah seorang saudaranya di kampung tersebut pada Isnin (18 Jun),” kata pegawai polis kanan pada Sabtu.
Laporan media tempatan menyebut, Survase melakukan jenayah yang telah mengorbankan suami, ibu bapa mertua dan saudara-mara mereka berikutan mahu membalas dendam selepas sering diejek kerana memiliki kulit yang hitam dan masakannya dikritik.
Siasatan polis menjurus ke arah Survase selepas analisis forensik terhadap sampel makanan yang dihidang semasa jamuan tersebut sah mengandungi racun serangga malah sisanya turut dijumpai berhampiran rumah saudaranya.
Semasa soal siasat terhadap kesemua ahli keluarga, dia tiba-tiba terketar-ketar dan kemudiannya menangis.
“Survase mengaku melakukan kesalahan tersebut sambil menyatakan masalah perkahwinan dan keluarga sebagai punca,” kata Ketua Polis, Anil Paraskar kepada pemberita.
Wanita tersebut didakwa atas kesalahan membunuh, cubaan bunuh dan konspirasi di bawah akta Kanun Keseksaan kerana sebahagian daripada mangsanya adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Survase berhadapan dengan hukuman maksimum, hukuman mati.
“Siasatan lanjut masih berjalan,” kata Paraskar. – Agensi