Rahim Tamby Chik.
Rahim Tamby Chik.

KUALA LUMPUR – Elok jika boleh proses pendakwaan dipercepatkan bagi barangan yang dirampas dari premis kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Veteran UMNO, Tan Sri Rahim Thamby Chik berpendapat, tanpa sebarang pendakwaan, semakin banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak menyebabkan ia di dijadikan medan politik yang tidak terkawal.

“Kebenaran hanya boleh ditegakkan apabila tapisan undang-undang dibuat di mahkamah terhadap sesiapa yang membuat pelbagai kenyataan berhubung dengan barangan rampasan.

“Yang jelas undang-undang tidak akan menerima atau tidak mengiktiraf sebarang kenyataan umun yang dibuat tanpa disokong oleh bukti dan saksi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kes rampasan barangan mewah dan berjenama termasuk mata wang oleh polis dari kediaman yang dipercayai milik Najib baru-baru ini.

Menurut Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu, proses pembuktian amat kritikal bagi mempastikan kesahihan dan kebenaran akan ditegakkan di dalam sistem kehakiman negara ini.

“Memandangkan proses pendakwaan dan perbicaraan akan disaksikan oleh rakyat dan dunia, pihak Peguam Negara pastinya akan mempunyai tahap persiapan yang maksimum dan komprehensif manakala yang tertuduh juga berpeluang memiliki perkhidmatan guaman yang terbaik dan bagi membela diri,” ujarnya.- MalaysiaGazette