Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018
Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) kini terpaksa menanggung padah apabila manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu didakwa gagal ditunaikan kerana janji yang ‘dihidangkan’ dibuat tanpa berlandaskan fakta kukuh.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kebanyakan janji palsu PH lebih berkisar kepada menangani kos sara hidup termasuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) namun masih gagal menurunkan harga di pasaran.

“Bila dapat kuasa, sekarang tak boleh tunai, kerana mereka janji tanpa fakta. Kalau dulu dia tahu fakta-fakta itu, mereka tidak akan janjikan.

“Masa pilihan raya, dia akan menetapkan harga minyak RM1.50 kemudian dia akan menukar sistem GST kepada SST, dia cakap bila hapuskan GST, harga akan turun.

“Tak turun juga, kemudian nak hapuskan tol, tak buat juga, kemudian cakap mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah tak payah bayar PTPTN, tak buat juga,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Kerajaan PH yang memperkenalkan GST pada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun lalu namun masih gagal memberi kesan kepada harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kerajaan PH juga menetapkan harga minyak RON95 kekal pada kadar RM2.20 seliter kekal sehingga akhir tahun ini, berbadning janji pilihan raya sebelum iaitu RM1.50 seliter.

Johari selaku bekas Menteri Kewangan II juga menyifatkan kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji pilihan raya sebagai peluang kepada BN untuk menjadi pembangkang progresif dan memperbetulkan persepsi ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Kita kena turun ke bawah menceritakan kepada janji-janji yang telah dibuat oleh kerajaan sekarang sebelum mereka mendapat kuasa.

“Waktu mereka berjanji itu dan banyak lagi janji-janji mereka yang mereka tiada fakta. Sebab itu saya nak jadi pembangkang progresif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette