Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata nama Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai nama yang dikenakan sekatan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata nama Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai nama yang dikenakan sekatan.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak disekat oleh Jabatan Imigresen untuk ke luar negara setakat ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata nama Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai nama yang dikenakan sekatan.

“Saya sudah menyemak perkara ini dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada arahan untuk menyenaraihitamkan nama beliau daripada ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Op Mega 3.0 di sekitar Lebuh Pudu di sini hari ini.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan seorang pemimpin tertinggi UMNO yang juga bekas menteri kanan dalam Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil dalam tempoh terdekat berhubung kes penyelewengan wang milik sebuah yayasan.

Difahamkan, siasatan dijalankan SPRM sejak awal tahun ini dan mendapati seorang daripada pemimpin tinggi UMNO menyalahgunakan wang sebuah yayasan yang beliau menjadi pengerusi dan disyaki menggunakan lebih RM800,000 dana yayasan itu untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri.

SPRM dikatakan berjaya mengesan beberapa dokumen yang mencatat maklumat transaksi pembayaran untuk diri dan isteri pemimpin itu.

Sementara itu, Op Mega 3.0 yang dilaksanakan Imigresen di sekitar ibu negara bermula tengah malam tadi (semalam), menahan 229 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 1,672 yang diperiksa.

Mustafar berkata operasi itu dijalankan di seluruh negara lanjutan penamatan program rehiring pada tengah malam tadi (semalam).

Kami akan menjalankan gerak gempur operasi secara menyeluruh bagi memburu PATI dan majikan yang masih berdegil untuk mengambil pekerja yang sah melalui program rehiring yang telah disediakan.

Langkah tegas ini perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini, katanya. Beliau berkata 19,969 PATI daripada pelbagai warganegara di seluruh negara ditahan sejak 1 Jan sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, pihaknya mengenakan tindakan undang-undang terhadap 536 majikan yang menggaji PATI dan 9,854 PATI didakwa sehingga semalam manakala selebihnya akan didakwa dalam masa terdekat.

Katanya warga Indonesia adalah tangkapan yang paling tinggi, seramai 6,871 individu daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan.

Ia diikuti warganegara Bangladesh seramai 3,935 orang, rakyat Filipina 2,011 dan warganegara Myanmar 1,990 orang.

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam memastikan majikan dan pekerja mematuhi undang-undang negara, katanya.

— BERNAMA