Agensi-agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan disusun semula sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos.

PETALING JAYA – Agensi-agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan disusun semula sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos.

Tujuh daripada 12 agensi itu akan diletakkan di bawah menteri JPM yang akan menjaga urusan Islam.

Tabung Haji juga akan kekal di bawah JPM, lapor The Malaysian Insight.

Penyusunan semula agensi-agensi itu telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Empat jabatan dan agensi agama Wilayah Persekutuan iaitu Pejabat Mufti, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Pendakwaan Syariah dan Mahkamah Syariah akan dipindahkan ke Kementerian Wilayah Persekutuan mulai hari ini.

Dua agensi yang sebelum ini berada di bawah JPM iaitu – stesen televisyen Al-Hijrah dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan berada di bawah kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dua jabatan lain dan tiga yayasan yang berkaitan dengan Islam juga akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jakim.

Jakim, Tabung Haji dan lima agensi, sebelum ini berada di bawah bidang kuasa menteri JPM yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, akan diketuai oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dari Parti Amanah Negara. – MalaysiaGazette