Kenderaan yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya menuju ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dibawa keluar dari ibu Pejabat Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Sebanyak tujuh kenderaan telah meninggalkan premis SPRM menuju ke Mahkamah Kuala Lumpur tepat pukul 7.37 pagi tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu dipercayai dibawa dengan menaiki kereta keempat iaitu Proton Inspira berwarna merah meninggalkan bangunan SPRM diiringi enam lagi kenderaan termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring polis.

Najib akan menghadapi lebih 10 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 di Aras 4, Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Beliau akan didakwa atas pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd iaitu sebuah anak syarikat kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam Najib telah ditahan di kediaman peribadinya di Langgak Duta sekitar pukul 2.30 petang.

Pasukan pendakwaan terhadap Najib akan diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.

Berdasarkan maklumat, kes tersebut akan disebut dihadapan Hakim Mahkamah Paling Kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian dijangka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Najib dijangka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan pecah amanah oleh penjawat awam dan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak melebihi 20 tahun, sebat dan denda.

Beliau juga didakwa mengikut Seksyen 21 Akta SPRM yang menyatakan seseornag penjawat awam yang didapati bersalah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa apa suapan, sama ada untuk diri sendiri, saudara atau sekutu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Najib juga disiasat PDRM dibawah Akta Pencegahan pengubalan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Pada Jun lepas, Najib hadir memberi keterangan kepada SPRM sebagai membantu siasatan ke atasnya.- MalaysiaGazette