Zakaria
Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad akan terus bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dan peneroka dalam menghubungkan petani dengan pasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, FGV berbangga dengan asal usulnya yang bermula daripada program pekebun kecil pertama di Malaysia yang ditubuhkan di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Felda, ditubuhkan sebagai program pembasmian kemiskinan dan telah mencapai kejayaan luar biasa, terutamanya pada awal penubuhannya.

“FGV sendiri mempunyai genetik hampir sama dengan FELDA dan sehingga hari ini masih terus bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dan peneroka, yang membantu menghubungkan petani dengan pasaran.

“Malah, FGV diakui sebagai salah satu penyokong terbesar pekebun kecil di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang meminta pengurusan FGV tidak mengeluarkan kenyataan yang mengguriskan hati peneroka.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi FGV Holdings, Datuk Azhar Abdul Hamid baru-baru ini yang didakwa seperti memberi gambaran syarikat itu tiada kaitan lagi dengan FELDA.

Mazlan berkata, dari sudut organisasi, FGV dan Felda adalah berasingan tetapi kekuatan yang ada pada FGV itu adalah kekuatan yang dikongsi bersama Felda.

Kenyataan itu dipercayai berkaitan dengan perubahan nama penjenamaan baharu FGV Holdings yang dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Perubahan itu ekoran terlalu banyak kekeliruan yang timbul kerana syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu sering disalah ertikan dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedangkan kedua-duanya adalah dua entiti berbeza.

Zakaria berkata, selepas enam tahun penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, Felda kekal sebagai pemegang saham terbesar kami dan peneroka kekal sebagai pihak berkepentingan entiti itu.

FGV bertekad untuk memperjuangkan semua isu berkaitan pekebun kecil di peringkat
antarabangsa, terutamanya ketika peluang industri untuk beroperasi dicabar atas beberapa
sebab tertentu.

FGV sentiasa menghormati kedudukan pembekal Buah Tandan Segar (BTS) yang terdiri di
kalangan pekebun kecil, termasuk peneroka dan akan bekerja keras untuk memelihara serta menguatkan hubungan kami dengan mereka.

“FGV menyokong lebih daripada 112,000 peneroka Felda yang mana mereka menghasilkan dan membekalkan sepertiga BTS daripada keseluruhan BTS yang diproses oleh kami.
“Sepertiga lagi diperoleh daripada 350,000 ha ladang yang diuruskan oleh FGV di bawah Perjanjian Sewa Tanah (LLA) dengan FELDA,” ujarnya.

FGV membayar kepada FELDA RM250 juta setiap tahun untuk pajakan tanah ini. Selain itu, FGV juga berkongsi 15 peratus keuntungan tahunan dari tanah yang berkaitan dengan LLA dengan Felda.

Malah, katanya, setiap tahun sejak penyenaraian, FGV tidak pernah gagal membayar dividen kepada para pemegang sahamnya.

Kata beliau, setakat 1 Jun 2018, KPF memiliki 5.15 peratus saham dalam FGV, iaitu
187,966,608 saham. – MalaysiaGazette