Dr. Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan siasatan berhubung kenaikan harga ubat-ubatan yang didakwa mendadak selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mahu menyiasat dengan sebenar-benarnya bagi mengetahui penyebab perkara itu berlaku.

“Saya ingin mengingatkan bahawa dadah memang tidak ada dalam senarai GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Jadi dengan pemansuhan GST ia tidak membawa apa-apa kesan,” katanya yang merujuk kepada kandungan ubat-ubatan yang dijual di pasaran.

Dzulkefly berkata, pihaknya ada mendengar rungutan tersebut dan satu tindakan susulan dengan mengadakan pemantauan telahpun dibuat namun, ianya tidaklah secara rasmi.

Katanya, menerusi pemantauan itu pihaknya mahu meneliti terlebih dahulu ubatan yang dikatakan mahal serta penggunaan dadah dalam ramuan ubat tersebut.

“Kita tengok dulu dadah jenis apa yang digunakan, samaada ia guna dadah yang asli ataupun yang generik,” ujarnya.

Hari ini, seorang pengamal farmasi swasta, Abdul Nassir Mat Dani meminta kerajaan menyiasat kenaikan harga ubat yang mendadak antara 20 hingga 35 peratus selepas PRU lalu.

Dia mendakwa kenaikan itu membabitkan ubat paten import dan sebahagian ubat-ubatan generik.

Katanya, kenaikan itu menghairankan sedangkan GST sudah dimansuhkan dan pertukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika Syarikat semakin baik.

Terdahulu, Dr Dzulkefly merasmikan Forum Penjagaan Kesihatan 2018 anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) di sini hari ini.

Forum tersebut diadakan bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan perkara membabitkan kesihatan. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/07/05/kenapa-harga-ubat-mahal-selepas-pru/