Kader DAP yang menyertai satu kem pasca-PRU telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pemimpin parti berhubung barisan Kabinet yang diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kader DAP yang menyertai satu kem pasca-PRU telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pemimpin parti berhubung barisan Kabinet yang diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Kader DAP yang menyertai satu kem pasca-PRU telah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pemimpin parti berhubung barisan Kabinet yang diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kem itu yang diadakan di sebuah hotel di Subang pada akhir Jun itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kader DAP.

Walaupun senarai menteri yang rasmi belum diumumkan semasa kem itu dijalankan, tetapi kader DAP telah melahirkan rasa bantahan berdasarkan senarai yang tersebar melalui Internet. Senarai itu kemudian juga didapati sahih.

Berbanding kem kader DAP terdahulu yang “penuh semangat” , suasana dalam kem kader kali ini dilaporkan menampakkan “motivasi rendah” .

Pemimpin parti bagaimanapun meminta para kader parti supaya rasa tidak puas hati mereka “tidak dibawa keluar” dari kem.

China Press melaporkan, wakil dari Sabah dan Sarawak telah membidas secara terus-terang keputusan Dr. Mahathir, yang menurut mereka tidak menghargai DAP Sabah dan Sarawak dalam menyumbangkan kerusi kepada Pakatan Harapan.

Kader DAP dari dua negeri itu juga menyatakan perasaan terpinggir dengan barisan Jemaah Menteri yang diputuskan.

Selain itu, kader DAP dari Perak pula mempertikaikan pemimpin parti yang tidak melantik Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai menteri.

“Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng secara terbuka menyatakan bahawa Kor Ming akan dilantik sebagai menteri jika beliau memenangi pilihan raya.

” Sekarang Kor Ming tidak dilantik sebagai menteri atau pun timbalan menteri, keadaan ini dibimbangkan akan menimbul rasa tidak puas hati, malahan menjejaskan reputasi parti,” kata sumber.

DAP difahamkan telah mencadangkan Kor Ming dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sebagai menteri, tetapi kedua-duanya tidak tersenarai.

Chieng Jen hanya dilantik sebagai TImbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan manakala Kor Ming tidak memperoleh sebarang jawatan. – MalaysiaGazette