logo 1MDB
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah 50 peratus selesai, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau yang ditemui selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM di Istana Negara di sini hari ini berharap proses siasatan kes akan selesai dijalankan secepat mungkin.

“Saya bersyukur atas pelantikan ini dan ini merupakan satu amanah besar kepada saya untuk menjalankan tugas yang diberikan.

“Fokus saya ketika ini tetap menjalankan kes sekarang iaitu berkaitan RM2.6 bilion. Doakan supaya kes ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya merujuk kepada RM2.6 billion yang dikatakan telah disalurkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini SPRM telah memanggil tiga individu bagi memberi keterangan berhubung kes 1MDB iaitu Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Terdahulu, Mohd Shukri yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei lepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meminta ditamatkan kontrak perkhidmatannya pada 14 Mei lepas berkuat kuasa serta merta, dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Mohd Shukri, 58, pernah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016. Jawatan terakhir yang dipegang beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Mohd Shukri yang berpengalaman luas dalam kes siasatan jenayah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

— BERNAMA