BUKIT MERTAJAM – Pulau Pinang memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM580 juta sementara RM438 juta untuk pelaburan domestik, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan ke negeri itu sebanyak RM1.1 billion pada suku pertama 2018.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata sebagaimana dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang merekodkan FDI sektor perkilangan tertinggi diluluskan dalam kalangan negeri di Malaysia bernilai RM8.5 bilion tahun lepas.
“Pelaburan sektor perkilangan juga berkembang 92 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM2.3 bilion. Justeru adalah penting untuk kami mempunyai rangkaian logistik yang kukuh dan perkhidmatan untuk menyokong pertumbuhan yang berterusan,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Fasa 5 Integrated Cold Chain Logistics Sdn Bhd (ICCL), oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di sini, hari ini.
Katanya, logistik adalah penting dan industri yang berkembang di Pulau Pinang dengan kebanyakan penyedia logistik membina pangkalan mereka di negeri ini yang sebahagian besarnya menyumbang kepada pertumbuhan berterusan sektor perkilangan.
Chow berkata, penyedia perkhidmatan logistik di Pulau Pinang bukan sahaja menyokong kilang dan perniagaan tempatan, tetapi juga bertindak sebagai penyedia logistik pihak ketiga (3PL) serantau untuk banyak negara, sebagai pusat pemerolehan antarabangsa atau pusat pengedaran serantau.-BERNAMA
















