Anwar dikunjungi Presiden Turki, Recep Erdogan Tayyip dan isteri di hospital. foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Turki.

Pembedahan itu bagi memulihkan kesihatan beliau yang mengalami ‘lumbar central stenosis’ – iaitu satu keadaan sekeliling urat tulang belakang menyempit, membebankan tekanan pada urat tulang belakang dan akar saraf.

Keadaan itu menyebabkan ruang untuk saraf sempit.

Anwar melalui Facebook memberitahu, pembedahan itu dilakukan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

“Pemeriksaan koronari angiogram telah dijalankan ke atas saya sewaktu di PPUM tempoh hari untuk menentukan tahap dan keperluan untuk menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu. Didapati tidak ada sebarang kesan signifikan terkait obstructive coronary disease.

“Namun sebagai pemulihan lumbar central stenosis secondary serta central disk herniation yang saya alami, saya harus menjalani pembedahan tulang belakang susulan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul,” katanya.

Ketua Umum PKR itu dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Khamis ini dibahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator.

Melalui Facebook beliau, Anwar turut memaklumkan beliau dikunjungi oleh Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan dan isteri. – MalaysiaGazette