Syed Faisal Albar
Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar bercakapa kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd. (Proton) memberi penjelasan kepada Majlis Penasihat Kerajaan bahawa pasaran perlu yakin bahawa syarikat tersebut masih lagi berstatus kereta nasional walaupun hampir separuh pegangannya dimiliki oleh pengeluar kereta ternama dunia, Geely.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, mereka perlu memberi keyakinan tersebut kepada bank, vendor dan pengedar selain meletakkan kepentingan Proton sebagai keutamaan.

“Mereka (CEP) tidak bertanyakan (pendapat kami) berhubung kereta nasional tetapi sudah pasti kami memberi penerangan kepada mereka bahawa kami perlu memastikan keyakinan dalam pasaran automotif negara, yang mana Proton adalah sebuah syarikat kereta nasional, begitu juga Perodua.

“Kami telah memberikan maklumat berkaitan perkara tersebut dan mahu keyakinan dalam pasaran dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan CEP di sini hari ini.

Pertemuan hari ini melibatkan wakil-wakil Proton, persatuan vendor Proton, persatuan pengedar Proton Edar dan PEKEMA.

Menurut Syed Faisal, CEP amat berminat untuk mengetahui mengenai fi kerjasama antara Proton dan Geely serta bagaimana syarikat kereta yang berasal dari China itu mampu meningkatkan nilai Proton.

“Sebagai sebuah negara, kita memerlukan teknologi tinggi jadi kita perlu menjemput orang luar yang mempunyai teknologi yang lebih hebat dari kita untuk bekerjasama.

“Buat permulaan, Proton telah memilih Geely sebagai rakan kongsi strategik dan harapnya kesan berganda (hasil kerjasama tersebut) akan lebih besar daripada ini,” katanya sambil menambah Geely adalah sebuah syarikat hebat yang telah menguasai beberapa jenama kereta ternama dunia seperti Daimler dan Volvo.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dilihat menyukai teknologi Geely selepas Proton memberi pinjam sebuah kenderaan kepada beliau untuk diuji pandu.

Geely juga katanya berhasrat untuk menjemput Dr. Mahathir melawat kilangnya semasa Perdana Menteri itu membuat lawatan rasmi ke China bulan depan.

Pada Mei tahun lalu, pemilik Proton, DRB-Hicom Bhd., melupuskan 49.9 peratus kepentingannya di dalam syarikat kereta nasional itu kepada Zhejiang Geely Holding Group selepas bertahun-tahun usaha mencari rakan kongsi strategik syarikat tersebut dilakukan. -MalaysiaGazette