Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor digesa memperhalusi dan mempertimbangkan secara serius saranan membesarkan lebuh raya Johor seperti yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, sebagai negeri yang sedang pesat membangun, penambahbaikan prasarana seperti lebuhraya adalah amat kritikal kepada Johor.

“Saya berharap pelbagai inisiatif baik yang telah dimulakan oleh saya dan pasukan BN sebelum ini tidak akan dikorbankan hanya disebabkan oleh perbezaan politik dan pendirian.

“Semua inisiatif yang baik yang telah dimulakan sebelum ini seharusnya terus dilaksanakan demi kepentingan dan manfaat kepada semua rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled menambah, UMNO  menyokong kerajaan negeri untuk di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengambil alih Syarikat Air Johor (SAJ).

Jelas beliau, cadangan tersebut sarankan berdasarkan beberapa faktor iaitu pertama apabila proses ini mampu dilakukan oleh negeri Johor dengan melihat kepada kedudukan kewangan yang kukuh dan jumlah rizab negeri yang tinggi yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini melebihi RM3 bilion.

“Kedua, dengan pengambilan SAJ ini, kerajaan negeri bukan sahaja berpeluang memperoleh dividen mencecah RM100 juta setahun, malah berupaya mengawal dan merendahkan tarif air Johor secara keseluruhannya dengan lebih berkesan.

‘Ini akan sekaligus membolehkan Kerajaan Negeri memberikan lebih banyak air percuma kepada golongan sasar dan tidak sekadar 10m padu seperti yang dilakukan sekarang.

“Ia adalah antara perancangan besar yang saya telah susun untuk lakukan sebelum ini, kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Johor,” katanya. – MalaysiaGazette