Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding sebagai presiden dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamaruddin berkata, tawaran Ketua Umum PKR itu diterima dengan terbuka dan dalam masa yang sama menghargai jasa Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden sekarang.

“Dalam pada tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia.

“Keadilan dalam konteks ini perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama hampir 20 tahun  dan demokrasi itu perlu bermula dari dalam parti kita sendiri.

“Ruang keterbukaan yang termaktub dalam perlembagaan parti perlu diangkat bersama dan diterjemah dalam usaha terus meyakinkan rakyat bahawa Keadilan (PKR) adalah parti yang terbaik mewakili mereka dan berbeza dengan UMNO yang acapkali menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi sewaktu mereka berada di tampuk pemerintahan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

MGF11062018_ZURAIDAH RASMI KEMPEN KEBAKARAN12
Zuraidah Kamaruddin

Zuraidah seterusnya berkata, kejayaan Selangor yang pernah diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga memainkan peranan besar sebagai model menyakinkan rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

“Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara lain merupakan watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan,” katanya lagi.

Mohamed Azmin, menurut Suraidah telah membuktikan dalam pentabdiran Kerajaan Selangor terdahulu dan kini peranannya selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera Keadilan yang kita cintai.

“Justeru, Wanita Keadilan (PKR) menegaskan bahawa disamping menerima baik tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan,” ujarnya.

Kenyataan Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang itu seolah-olah menunjukkan signal kemungkinan Mohamed Azmin juga akan bertanding jawatan Presiden PKR dan tidak memberi laluan mudah kepada Anwar.

Jika tidak pun, ia sebagai usaha mengukur sokongan ahli parti terhadap Mohamed Azmin sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Umum mengetahui hubungan baik Zuraidah dengan bekas Menteri Besar Selangor itu dan mereka berada di dalam kem yang sama dalam PKR.- MalaysiaGazette