Tuan Asmawi Tuan Umar
Tuan Asmawi Tuan Umar

Assalamualaikum wrm.wbt dan Salam Sejahtera,

AHLI-AHLI YANG BERHORMAT,

Pendahuluan
Pepatah Arab ada menyebut ;
سيدالقوم خادمهم
Pemimpin sesuatu kaum itu adalah khadam bagi mereka.

  1. Pertamanya saya bagi pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah buat Ahli – Ahli Yang Berhormat baik di Dewan Rakyat mahu pun Dewan Negara dalam menggalas amanah sebagai pemimpin kepada rakyat Malaysia baik daripada Pakatan Harapan (PH) mahu pun Barisan Nasional (BN).

  2. Sesungguhnya,lanskap politik Malaysia mengalami perubahan apabila bertukarnya tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan yang baharu sahaja memulakan pelayaran dan pengembaraan yang panjang selama tempoh 5 tahun mendatang.

  3. Ketentuan dan selera rakyat sudah pasti berubah dengan berlakunya perubahan kepimpinan negara untuk cuba mencari yang terbaik demi kepentingan watan tercinta ini. Sudah tentu wajar selama tempoh 60 tahun pihak kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional yang telah membina dan membangun watan ini perlu dikalungkan bunga sebagai tanda terima kasih rakyat Malaysia secara amnya.

  4. Namun,persoalan perubahan kepimpinan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan adalah dikatakan terkait integriti manusiawi yang tidak luput daripada alpa dan kelalaian. Walau bagaimana pun,alhamdulillah,peralihan kuasa pada dua bulan yang lalu berlalu berjalan dengan mulus dan lancar membuktikan bahawa kita rakyat Malaysia masih lagi mengamalkan peradaban serta tamadun tinggi timur yang penuh tertib.

  5. Saya berpendapat apa pun persoalan terkait integriti kepimpinan mana-mana pihak hendaklah ditangani dengan penuh keadilan serta tidak tersalut perasaan kesumat yang terus memburukkan lagi situasi politik,sosial dan ekonomi rakyat Malaysia.

  6. Apa yang amat menyedihkan ialah apabila cara dan gelagat para pemimpin pilihan rakyat di Dewan Rakyat adalah mencerminkan budaya yang tidak selari ketokohan jawatan yang disandang.

Ini adalah kerana jawatan serta gelaran Yang Berhormat itu begitu mulia dengan amanah yang tertanggung bagi pihak rakyat. Saya kira rakyat tidak mahu melihat gelagat kurang matang sewaktu perbahasan apa apa usul di dalam Dewan yang mulia tersebut yang tidak ubah menjadikan Dewan Parlimen seperti Pasar Borong.

Setiap daripada kita wajib matang membahaskan sesuatu usul bukannya menunjukkan aksi-aksi yang tidak sepatutnya ; sedarkah Ahli Ahli Yang Berhormat setiap gerak geri dan patah kata ucapan Yang Berhormat diperhatikan. Apalah untung kita jika menang sorak kampung tergadai.

  1. Akhirnya,saya dengan rendah hati mewakili Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kepada semua Ahli Ahli Yang Berhormat agar bermuhasabah diri adakah apa yang sesetengahnya kita lakukan itu wajar dan menampakkan kematangan.

Salam Bersidang Ahli Ahli Yang Berhormat,

TUAN ASMAWI BIN TUAN UMAR
Penasihat Agama & Media
Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM)