Yang Berhormat Jelutong, saya sudah dengar kenyataan Bagan Datuk, beliau tidak merujuk kepada sesiapa. Kenyataan itu bukan untuk Perdana Menteri.
Yang Berhormat Jelutong, saya sudah dengar kenyataan Bagan Datuk, beliau tidak merujuk kepada sesiapa. Kenyataan itu bukan untuk Perdana Menteri." - Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Jika semalam Dewan Rakyat hiruk pikuk umpama pasar borong gara-gara perkataan samseng dan gangster, hari ini sesi terganggu seketika apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Zahid Hamidi menggunakan perkataan ‘munafik’.

Bagaimanapun, dengan pendirian tegas dan tidak berat sebelah, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming bijak mengawal keadaan sehingga mendapat pujian daripada barisan pembangkang dan Zahid sendiri.

Dewan menjadi panas dan gamat seketika apbila Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi ulasan berhubung janji-janji yang tidak tertunai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun sudah sampai 70 hari.

Zahid Hamidi yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk pula ketika memberi ulasan berkata, antara ciri-ciri ‘orang munafik’ termasuklah tidak menepati janji yang telah ditaburkan.

Sebelum sempat Zahid sempat menyambung, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer terus bangun mendesak berkali-kali supaya beliau menarik kembali perkataan ‘munafik’ yang disifatkan tidak sopan seperti yang termaktub.

“Tarik balik. Perkataan itu seolah-olah ditujukan kepada Perdana Menteri. Tarik balik Ketua Pembangkang,” desaknya.

Namun demikian, dengan pantas Kor Ming  memberi ruang kepada Ahmad Zahid untuk menjelaskan penggunaan perkataan munafik tersebut tanpa memberi laluan kepada Rayer.

Zahid menafikan penggunaan munafik itu sebenarnya ditujukan kepada sesiapa secara khusus.

“Saya sebut munafik kalau cakap bohong, ianya tidak ditujukan secara khusus. Ini adalah sikap yang perlu dielakkan jika orang Islam yang baik,” tegasnya.

Bagaimanapun, jawapan itu tidak diterima oleh Rayer sebaliknya berterusan meminta beliau menarik balik mengikut Peraturan Mesyuarat.

Pada satu ketika, Kor Ming yang juga merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan bertindak memadam mikrofon Rayer dan membiarkan Zahid terus berucap selepas memintanya menerima sahaja jawapan Zahid.

“Yang Berhormat Jelutong, saya sudah dengar kenyataan Bagan Datuk, beliau tidak merujuk kepada sesiapa. Kenyataan itu bukan untuk Perdana Menteri. Kalau beliau buat kenyataan umum seperti itu, bermakna ianya bukan prejudis,” ujar Kor Ming.

Tindakan Kor Ming serta merta mendapat tepukan gemuruh daripada blok pembangkang serta pujian daripada Zahid.

“Inilah contoh Yang Dipertua Dewan Rakyat yang adil,” ujarnya. – MalaysiaGazette