Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin (dua kiri), Pengasas dan Pengerusi Acts One Group Inc, Serena Chiam (tiga kiri), Puan Seri Datuk Akmal Abdul Salam (kanan) dan Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal melihat karya seni yang akan dilelong bagi mengumpul dana untuk membina pusat austisme pertama di Perlis. foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menyasar mengumpul dana sebanyak RM6 juta bagi membina sebuah pusat autisme di Perlis.

Ahli Lembaganya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, pihaknya merancang menubuhkan pusat autisme pertama di Perlis yang dilengkapi dengan segala kelengkapan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Saya mempunyai seorang cucu yang merupakan orang berlainan keupayaan. Oleh itu saya tahu betapa susah untuk menjaga mereka dan saya sedar mereka memerlukan penjagaan khas,” katanya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media anjuran YTSP dan Acts One Group Inc. mengenai Kutipan Dana Gold A-Heart untuk Pusat Autisme Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Johor.

Hadir pada majlis Pengerusi Acts One Group Inc, Serena Chiam.

UniMAP memulakan inisiatif Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autism(A-HEART) menerusi pengumpulan dana berjumlah RM500,000 untuk membina sebuah pusat autisme, dua tahun lalu.

Kamarudin berkata, pusat autisme itu berfungsi mendidik serta memberi latihan kemahiran hidup kepada komuniti autisme bagi membolehkan mereka berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari orang lain. – MalaysiaGazette