Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Tiada sekolah ditutup di Selangor disebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mendapati hanya dua kluster HFMD dilaporkan berlaku di dua buah sekolah dan kedua-dua sekolah terbabit tidak ditutup.

“Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambil kira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan dakwaan dalam media sosial bahawa 51 buah sekolah telah ditutup di sebuah daerah di Selangor.

Sementara itu, Noor Hisham menasihati orang ramai supaya menyemak maklumat atau berita berkaitan HFMD terlebih dahulu bagi memastika maklumat yang diterima adalah benar.

“Saya meminta orang ramai agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada KKM terlebih dahulu.

“Bilangan kes HFMD dijangka terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan.

“Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” ujar beliau.

Katanya, sehingga hari ini tiada sebarang kematian disebabkan HFMD atau enterovirus 71 (EV71) dilaporkan di negara ini.

Beliau mengingatkan orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru supaya sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak-anak dan murid-murid.

Beliau memberitahu, selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak mereka setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut.

“Sekiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit, dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

“Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

“Sesungguhnya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif oleh semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah,” kata beliau. – MalaysiaGazette