Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim berkata, Kementerian Pendidikan juga dicadangkan supaya memansuhkan peraturan pemakaian blazer untuk pengawas.
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penukaran kasut putih kepada kasut hitam tidak berhenti setakat di situ, tetapi ia telah menjurus kepada lebih banyak perbincangan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim berkata, kebanyakan ibu bapa menyokong penukaran kasut sekolah daripada warna putih kepada warna hitam.

Beliau bagaimanapun berpendapat, Kementerian Pendidikan juga dicadangkan supaya memansuhkan peraturan pemakaian blazer untuk pengawas.

Beliau berkata, pakaian seragam berwarna putih pada masa ini juga dicadangkan digantikan kepada pakaian seragam jenis sukan yang mampu menyerap peluh.

Katanya lagi kepada Sinchew Daily, pakaian seragam putih sedia ada kurang sesuai kerana mudah menjadi kekuningan.

“Pakaian sukan yang berwarna-warni bukan sahaja lebih bertahan lama, malahan ia menambahkan keceriaan di sekolah,” katanya.

Selain itu, pemakaian tali leher yang ‘tidak padan’ dengan iklim tempatan juga harus dielakkan.

“Tali leher merupakan budaya barat yang bertujuan memastikan bahagian leher tidak kesejukan, kami tidak memerlukan tali leher di sini yang hanya ‘mengekang’ leher kanak-kanak,” katanya.

Memandangkan ibu bapa di kawasan berlainan mungkin berdepan situasi berbeza, Noor Azimah justeru mencadangkan supaya pihak sekolah tempatan diberi kuasa untuk memperincikan pelaksanaan peraturan kasut hitam.

Pakar sosiobudaya, Tan Sri Rais Yatim bagaimanapun berpendapat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik harus menitik berat perkara lebih penting seperti soal disiplin dan bukannya warna kasut.

Naib Presiden Gerakan, Dominic Lau pula bertanya: “Adakah soal warna kasut lebih penting daripada isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)?”