Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin memerlukan 24 bulan untuk melaksanakan Revolusi Industri Tenaga yang akan membolehkan kos sektor itu ditentukan sepenuhnya oleh kuasa pasaran.
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin memerlukan 24 bulan untuk melaksanakan Revolusi Industri Tenaga yang akan membolehkan kos sektor itu ditentukan sepenuhnya oleh kuasa pasaran.

PUTRAJAYA – Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin memerlukan 24 bulan untuk melaksanakan Revolusi Industri Tenaga yang akan membolehkan kos sektor itu ditentukan sepenuhnya oleh kuasa pasaran.

Bee Yin memberitahu, kejayaan revolusi itu akan menyediakan lebih banyak pilihan dalam bekalan tenaga.

Beliau berkata, industri tenaga pada masa ini dimonopoli dan sekiranya revolusi dapat dijalankan, maka ia akan menjadikan sektor itu lebih berdaya saing.

Bee Yin berkata, beliau juga tidak mahu melihat industri tenaga dipolitikkan.

Katanya kepada Sinchew Daily, hala tuju industri tenaga tidak harus ditentukan oleh kerajaan atau menteri, tetapi ia harus berdasarkan kuasa pasaran.

“Sekiranya Revolusi Industri Tenaga boleh dijalankan, ia pasti menjadikan harga lebih berdaya saing.

“Daya saing dalam industri tenaga akanĀ  dapat mengawal kadar tarif elektrik,” katanya.

Bee Yin bagaimanapun tidak menjanjikan penurunan tarif elektrik yang diharapkan ramai pihak.

Keadaan penurunan harga, kata Bee Yin, sukar dijangkakan kerana 42.5 peratus tenaga di Malaysia dijana menggunakan arang batu manakala 99 peratus hasil lombong itu diimport dari luar negara.

“Saya tidak berani cakap bahawa penurunan harga akan berlaku, tetapi apa yang penting ialah saksama dan telus,” katanya.

Tambah Bee Yin, kementeriannya akan mengumumkan rancangan Revolusi Industri Tenaga dalam beberapa bulan lagi yang digambarkan beliau sebagai “berita baik” untuk rakyat.

“Revolusi ini akan memberi impak kepada banyak pihak, tetapi ia merupakan berita baik untuk rakyat.

” Kami memerlukan 24 bulan untuk melaksanakan revolusi ini. Pada masa itu, rakyat akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam bekalan tenaga,” katanya.

Bee Yin tidak mendedahkan maklumat lanjut Revolusi Industri Tenaga, tetapi memberitahu bahawa rancangan itu turut merangkumi satu pelan untuk tenaga boleh diperbaharui.