Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2018
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Pemberian royaliti minyak sebanyak 20 peratus tidak boleh dilaksanakan dalam masa terdekat, sebaliknya pindaan Akta Pembangunan Petroluem (PDA) 1974 perlu dilakukan terlebih dahulu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa yang termaktub dalam akta tersebut hanya menyebut, berdasarkan keuntungan bersih pemberian 10 peratus royalti kepada kerajaan pusat dan negeri pengeluar minyak.

“Tawaran 20 peratus adalah inisiatif manifesto daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi pada masa yang sama kita perlu melakukan pindaan terhadap Akta 1974 terlebih dahulu sebelum pelaksanaan itu.

“Buat masa ini, Petronas perlu membayar 10 peratus secara tunai kepada kerajaan, daripada jumlah ini, sebanyak 5 peratus akan di terima oleh kerajaan persekutuan dan negeri-negeri pengeluar sumber.

“Bayaran itu akan dibayar dua kali iaitu pada bulan Februari dan Ogos. Peratus ini mengikut nilai kasar setong pada harga pasaran tanpa perlu mengambil kira menguntungkan atau tidak.

“Tatkala kami menggubal Buku Harapan yang menyebut tentang pengagihan royaliti minyak secara adil kepada negeri-negeri pengeluar minyak secara adil sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, kami telah melakukan buat kos analisa pengeluaran petroleum. Ketika itu kekangan data dan maklumat,” katanya.

Beliau mengulas permintaan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau yang memohon pencerahan bila kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pemberian 20 peratus royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan 20 peratus yang diberikan oleh syarikat pengeluar minyak adalah royalti daripada keuntungan yang diperoleh daripada negeri-negeri terbabit.

“Royalti itu adalah berdasarkan keuntungan yang diperoleh oleh setiap negeri. Kita tidak ambil (keuntungan) daripada Terengganu dan beri kepada negeri lain,” katanya. – Malaysia Gazette