Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh mengharamkan perkahwinan bawah umur bagi mengelakkan eksploitasi kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusuf Rawa.

Katanya, kerajaan boleh campur tangan demi kepentingan awam dan imej agama Islam.

“Jadi untuk lindungi masyarakat kita dan imej Islam, saya yakin Timbalan Menteri Besar Kelantan (Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah) itu orang beragama, dia tahu bahawa kaedah sesuatu yang harus dalam hukum membolehkan kerajaan campur tangan.

“Ia supaya tidak berlaku eksploitasi ke atas kanak-kanak yang sebahagian besar perkahwinan kanak-kanak itu lebih bersifat eksploitasi,” katanya kepada pemberita ketika di lobi Parlimen. 

Beliau terdahulu diminta mengulas pendirian Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah yang tidak bersetuju perkahwinan bawah umur disifatkan sebagai bertentangan dengan Islam. 

Isu perkahwinan kanak-kanak tercetus apabila seorang lelaki 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan bernikah dengan seorang kanak-kanak 11 tahun.

Mengikut perundangan, kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun dan lelaki bawah 18 tahun dibenarkan berkahwin kecuali jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Bagi bukan Islam pula, golongan itu perlu mendapatkan kebenaran khas Ketua Menteri atau Menteri Besar negeri.-MalaysiaGazette