Willie Mongin
Willie Mongin

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan bayaran royalti 20 peratus hasil petroleum kepada negeri-negeri pengeluar berdasarkan kepada keuntungan dibidas Ahli Parlimennya sendiri.

Menurut Willie Mongin (PH- Puncak Borneo), penetapan 20 peratus keuntungan adalah bercanggah dengan manifesto gabungan itu pada PRU-14 lalu.

Ujarnya, beliau bertindak demikian kerana bayaran itu tidak adil kepada negeri-negeri pengeluar kerana ia sepatutnya diberikan berdasarkan kepada pengeluaran dan bukannya keuntungan.

“Saya mewakili rakyat Sarawak bahawa saya tidak setuju dengan saranan bahawa royalti 20 peratus ini dibayar berdasarkan keuntungan kerana ini bercanggah dengan janji 41 manifesto PH.

“Manifesto itu menyebut kerajaan PH akan menambah bayaran royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak sebanyak 20 peratus atau nilai yang sama sebagai satu langkah pembahagian petroleum yang adil,” katanya ketika ucapan penggulungan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Willie berkata, beliau tidak mahu dilihat cuba menongkah arus namun sebagai Ahli Parlimen Sarawak, beliau perlu berkata sesuatu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat negeri-negeri pengeluar bahan api itu kepada Malaysia.

“Saya bukan macam pemimpin BN yang takut lawan tauke, kecut. Saya dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat untuk rakyat dan akan terus membawa suara rakyat.

“Kami sebagai rakyat Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu bukan mohon bulan dan bintang tapi kami mohon hak kami sebagai rakyat. Tiada yang lebih,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sidang media di ibu pejabat Bersatu memberitahu bahawa kerajaan akan membayar 20 peratus royalti kepada negeri-negeri pengeluar petroleum berdasarkan kepada keuntungan dan bukannya mengikut kadar pengeluaran.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata, kadar royalti 20 peratus bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 kerana pengiraan pemberian royalti adalah atas keuntungan kasar dan bukan keuntungan bersih.

Justeru itu, pihaknya sedang meneliti perkara itu dengan pihak berkaitan bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adalah adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara, industri dan rakyat. – MalaysiaGazette.