Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kesihatan Tan Sri Muhyiddin Yassin beransur pulih selepas beliau menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian pankreas pada 12 Julai lalu.

Pejabat Menteri Dalam Negeri memberitahu banyak pertanyaan diterima mengenai tahap kesihatan Menteri Dalam Negeri itu yang kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, kami ingin memaklumkan bahawa tahap kesihatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin amat baik dan semakin pulih. Terima kasih atas doa yang tidak putus-putus diberikan kepada beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dimuat naik di akaun Facebook rasmi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu beserta dua keping gambar beliau.

Ahli Parlimen itu menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri sementara ketiadaan Muhyiddin. – MalaysiaGazette