IPOH – Walaupun baru berusia 8 tahun, adik Reeno Chin telah berjaya mengharumkan nama negara selepas menjuarai pertandingan matematik peringkat antarabangsa di Moscow, Rusia pada 22 Julai lalu.

Reeno pelajar darjah dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Seri Botani di sini dinobatkan sebagai ‘Grand Champion Level 5 Aloha Mental Arithmetic International Competition’ apabila menewaskan lebih 1,200 peserta dari 20 negara seluruh dunia.

Wong Pui Si, 41, ibu kanak-kanak pintar itu berkata anak bongsu daripada dua beradik itu mula menunjukkan minat mengira sejak berumur lima tahun.

“Dia seperti kanak-kanak biasa yang ada masa bermain dan ada masa belajar, namun saya tidak pernah memaksa beliau membuat latihan matematik.

“Cuma saya hadkan masa untuk mereka berhibur, di rumah saya tiada televisyen hanya ada radio dan komputer atau permainan video boleh main sebulan sekali sahaja,” katanya kepada pemberita ketika membuat kunjungan hormat ke pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan negeri Dr Abdul Aziz Bari di sini hari ini.-BERNAMA