Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik (dua kiri) diberi keterangan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin (tiga kiri) pada majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017 di Auditorium Parcel, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik (dua kiri) diberi keterangan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin (tiga kiri) pada majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2017 di Auditorium Parcel, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Tugas untuk meminda kandungan dalam buku sejarah yang dibekalkan di negara ini perlu digalas sejarawan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya perlu berbincang dengan pakar-pakar sejarah sekiranya terdapat keperluan untuk mengubah mana-mana bahagian sejarah di negara ini.

“Isu yang lebih utama adalah tentang bagaimana ahli-ahli sejarah melihat kepada sejarah dulu. Kerana kita di peringkat Kementerian Pendidikan akan pergi kepada masyarakat secara terus tetapi yang memfokus kepada pengolahan terhadap sejarah itu sendiri merupakan pakar-pakar sejarah.

“Saya rasa mungkin tidak elok kalau saya melakukan keputusan tanpa mendapat pandangan mereka terlebih dahulu,” katanya kepada media di Kementerian Pendidikan hari ini.

Maszlee merujuk kepada laporan MalaysiaGazette mengenai wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?’ (Perlukah Kita Menulis Buku Sejarah) yang mana para panelis berpendapat kandungan buku teks sejarah di negara telah dijadikan propaganda kerajaan terdahulu dan perlu dikaji semula.

Malah, forum tiga hari bertajuk ‘A People’s History of Malayan Emergency’ itu turut memberi gambaran perjuangan kemerdekaan oleh haluan kiri seperti Parti Komunis Malaya (PKM) perlu mendapat pengiktirafan.

Wacana itu bertukar tegang apabila apabila ada antara hadirin yang berang malah menuntut jawapan tepat bagaimanapun wacana ini mahu memasukkan fakta-fakta berkaitan perjuangan pendukung fahaman komunis ketika era sebelum merdeka di dalam buku-buku teks sejarah.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan mendengar gesaan pihak terbabit, beliau berkata, kementeriannya akan bertemu pakar-pakar sejarah terlebih dahulu jika perlu.

“Saya kena mendengar (apa kata) pakar-pakar kerana mereka ini yang akan menjadi tonggak kepada pelajaran sejarah negara.

“Pendekatan saya lebih kepada konsultasi, kita perlu libatkan pakar sejarah. Apabila kita sudah bertemu dengan mereka dan melakukan beberapa kajian baharu saya boleh membuat apa-apa kenyataan berkaitan isu ini,” katanya. -MalaysiaGazette