Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) susut 2.2 peratus kepada RM58.21 juta bagi suku kedua tahun ini yang berakhir 30 Jun 2018.

Prestasi itu disumbangkan oleh kejatuhan pendapatan sebanyak 1.5 peratus kepada RM140.56 juta berbading RM142.67 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Ia menyebabkan hasil setiap saham menyusut kepada 7.2 sen pada suku tersebut berbanding 7.4 peratus yang direkodkan pada suku yang sama tahun lalu.

Lembaga Pengarah Bursa Malaysia meluluskan pembayaran sebanyak dividen interim sebanyak 14 sen bagi setiap saham dan dividen khas 8 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2018, berjumlah kira-kira RM177.6 juta yang akan dibayar pada 29 Ogos.

Dalam makluman kepada bursa, Bursa Malaysia berkata, keuntungan pasaran sekuriti merosot sebanyak 1.9 peratus kepada RM87.2 juta berbanding RM88.9 juta pada suku kedua tahun lalu disebabkan keuntungan dagangan yang rendah bagi suku yang disemak

Penurunan pendapatan itu ekoran kadar yuran penjelasan yang lebih rendah meskipun purata nilai dagangan harian meningkat bagi dagangan pasaran dan dagangan perniagaan langsung.

Menurut Bursa Malaysia, kadar penguatkuasaan yuran penjelasan adalah 2.15 mata asas pada suku kedua, lebih rendah berbanding 2.34 mata asas pada suku yang sama tahun lalu.

Yuran penjelasan yang lebih rendah itu disebabkan kadar perdagangan yang lebih tinggi tertakluk kepada had bayaran tersebut.

Katanya, perbelanjaan operasi bagi segmen itu naik sebanyak 6.6 peratus dipacu oleh kos kakitangan yang meningkat.

Bursa menambah, keuntungan pasaran derivatif pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak 10.8 peratus kepada RM11.6 juta disokong oleh kenaikan pendapatan dagangan.

Segmen perbelanjaan menurun sebanyak 6.8 peratus kerana kos perkhidmatan yang lebih rendah ditanggung daripada jumlah kontrak lebih rendah yang didagangkan pada suku tersebut.

Untuk separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih naik sebanyak 5 peratus kepada RM122 juta berbanding RM116.17 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara, pendapatan kumulatig naik 2.1 peratus kepada RM291.27 juta dalam tempoh berkenaan berbanding RM285.36 juta pada separuh pertama tahun 2017. – MalaysiaGazette