Surat Rela tular dalam media sosial tentang penamatan tugas Rela di PKKR selruh negara

KUALA LUMPUR – Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengesahkan penamatan penugasan kawalan keselamatan anggotanya di Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR) seluruh negara.

Pengesahan itu menyusul berikutan sepucuk surat pekeliling mengenai perkara itu tular di media sosial.

Dalam surat yang ditandatangani Pengarah Bahagian Operasi Rela, Mohamad Razib Buhaini memaklumkan pengurusan tertinggi jabatan itu bersetuju semua penugasan berbayar anggota Rela di 98 PKKR di tamatkan berkuatkuasa 1 September ini dan digesa dimaklumkan kepada pejabat Rela Daerah yang terlibat.

Bagi mengulas perkara itu, Rela menerusi kenyataan berkata, surat itu tidak melibatkan pemotongan elaun anggotanya.

“Untuk makluman, penugasan rondaan keselamatan tersebut telah diwujudkan sejak Januari 2017 untuk membantu memelihara keselamatan setempat.

“Penugasan ini melibatkan tugasan rondaan dan ianya bersifat sementara dan ia telah dilaksanakan di 98 PKKR seluruh negara melibatkan seramai 294 anggota yang dibayar elaun bertugas.

“Penamatan penugasan PKKR tersebut dibuat setelah penilaian semula terhadap semua penugasan Jabatan dilaksanakan pada pertengahan tahun merangkumi aspek keperluan penugasan dan kedudukan kewangan semasa Jabatan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bermula Januari 2018, Rela telah melaksanakan rondaan keselamatan secara sukarela di 157 daerah seluruh negara selaras dengan hasrat untuk menghidupkan semula semangat kesukarelaan dalam kalangan anggotanya.

“Walau bagaimanapun, penamatan penugasan rondaan PKKR ini tidak melibatkan penugasan-penugasan lain yang masih berjalan seperti biasa.

“Ia juga tidak menjejaskan operasi PKKR yang akan terus beroperasi seperti sedia kala,” kata kenyataan itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast