Chelsea
Thibaut Courtis dihalang Chelsea daripada menyertai Real Madrid musim ini.

LONDON – Thibaut Courtois berkemungkinan dipaksa kekal di Chelsea kali ini dan terpaksa melupakan impian menyertai Real Madrid.

Ini kerana, the Blues menolak tawaran 31 juta pound yang diletakkan the Galacticos untuk penjaga gol antarabangsa Belgium itu.

Laporan di Stamford Bridge mendakwa Courtois telah memberitahu rakan-rakan sepasukannya yang dia bersungguh-sungguh menantikan penghijrahan ke kelab La Liga Sepanyol itu.

Malangnya, Chelsea selaku kelab pemilik bintang itu merasakan bidaan Real Madrid terhadap penjaga gol antara terbaik dunia itu tidak masuk akal dan rendah.

Courtois mempunyai kontrak berbaki setahun di Stamford Bridge dan belum memulakan rundingan memperbaharui kontrak bersama kelab itu.

Pada masa yang sama, Chelsea juga gagal mengenalpasti pengganti terbaik untuk pemain itu dan tidak sanggup melepaskannya.

Pengarah kelab itu Marina Granovskaia sentiasa berhubung dengan Real Madrid untuk meminta kelab la liga itu menaikkan nilai bidaan tersebut.

Namun, masalah utama yang dibimbangkan Pengurus baharunya Maurizio Sarri ialah pengganti untuk Courtois.

Chelsea sebelum ini mengintai rapat bekas penjaga gol Roma Alisson tetapi dirampas Liverpool pada saat akhir dengan rekod dunia 65 juta pound.

Jan Oblak dari Atletico Madrid turut dikejar the Blues namun tawaran harga sebanyak 90 juta pound yang dianggap terlampau mahal untuk kelab itu berurusan.

Chelsea berpendapat bahawa tidak sanggup menjadi mangsa keadaan setelah menyedari agak sukar untuk melengkapkan pengganti sesuai untuk Courtois dengan jendela perpindahan pemain berbaki enam hari sahaja lagi.

Setakat ini, Chelsea hanya merekrut dua pemain baharu ke Stamford Bridge iaitu Jorginho (Napoli).

Chelsea akan bertemu Manchester City pada Ahad ini dalam aksi Piala Perisai Komuniti di Wembley.- MalaysiaGazette