Kapal Equanimity yang dikaitkan dengan Jho Low. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Kapal mewah Equanimity yang bernilai AS$250 juta yang dikatakan akan diserahkan kepada Malaysia telah tiba di Batam.

Kapal milik ahli perniagaan Low Taek Jhoo, individu yang paling dikehendaki untuk siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Star yang memetik sumber sebagai berkata, kapal itu sedang berlayar di sepanjang perairan Selat Singapura dengan kelajuan 8 knot, menuju ke Pelabuhan Batu Ampar.

Walau bagaimanapun, kapal itu tidak menuju ke pelabuhan itu seperti yang dijadualkan.

Sebaliknya, ia berlabuh dekat rumah api Pulau Nong di pintu masuk Teluk Tering kira-kira jam 9.30 pagi.

“Kapal itu akan berlabuh di Batam, menunggu arahan lanjut dari Jakarta untuk diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.”

Equanimity dilaporkan meninggalkan Pelabuhan Tanjung Benoa di Bali pada hari Khamis lalu dan menuju ke Batam.

Pada bulan Februari, kapal itu telah disita atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) yang berkaitan dengan 1MDB.

Bagaimanapun, Equanimity tidak dibenarkan meninggalkan Pelabuhan Tanjung Benoa.

Julai lalu, polis Indonesia menahan kapal berkenaan semula susulan arahan rasmi daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Beberapa hari lalu, Reuters melaporkan kapal mewah itu akan diserahkan kepada Malaysia.

Jurucakap pihak berkuasa Indonesia, Daniel Silitonga berkata, kapal itu akan diserahkan di perairan sempadan Indonesia dan Malaysia. – MalaysiaGazette