KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini berikutan permintaan belian yang lebih baik.
Ia juga disebabkan prestasi positif harga minyak dunia yang turut membantu mengangkat sentimen pasaran ke arah ringgit.
Peniaga berkata harga minyak mentah dunia meningkat berikutan pengeluaran yang lebih rendah pada Julai, dengan penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent adalah lima sen lebih tinggi pada AS$73.26 setong dan niaga hadapan US West Texas Intermediate (WTI) naik 12 sen kepada AS$68.61 setong.
Sementara itu, Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga, menjangkakan ringgit akan sedikit melantun berbanding dolar AS minggu ini, dengan jangkaan data ekonomi domestik yang positif seperti jualan runcit bulanan, kadar pengangguran, output pembinaan untuk suku kedua dan pengeluaran perindustrian pada Jun yang akan dikeluarkan pada minggu ini.
Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9803 / 9855 daripada 2.9770 / 9811 Jumaat lalu dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.6646 / 6694 daripada 3.6523 / 6574.
Ringgit bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.2971 / 3056 daripada 5.3064 / 3146 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7115 / 7181 daripada 4.7222 / 7292 Jumaat lalu. –BERNAMA