Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan kapal mewah The Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) kini dalam perjalanan pulang ke negara ini dan dijadualkan tiba esok.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berasa bangga dengan ‘kepulangan’ harta milik 1Malaysia Develop Berhad (1MDB) itu.

“Saya harap pihak berkuasa akan mengambi tindakan berdasarkan undang-undang negara,” katanya kepada pihak media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan The Equanimity kini dalam pelayaran dari perairan Batam, Indonesia menuju ke Pelabuhan Klang sebelum dijangka tiba pukul 3 petang esok.

Kapal yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Menerusi laman sesawang MarineTraffic.com petang ini, kapal berkenaan dikesan dikemudi pada kelajuan 6.2 knots melalui laluan perairan antarabangsa Selat Singapura sebelum memasuki Selat Melaka.

Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu.

Pagi tadi, Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun facebook miliknya berterima kasih kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal mewah The Equanimity kepada Malaysia hari ini.

Ditanya janji kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan memberi peluang kepada rakyat untuk menaiki kapal mewah itu secara percuma, Mohamad berkata, beliau juga teringin untuk menikmati pengalaman berada di atas The Equanimity itu.

“Saya tiada kapal mewah, jadi saya akan cuba nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast